Friday, May 8, 2015

Hak isteri kedua bila suami meninggal

Ketika akan berangkat ke Zurich, Switzerland, saya mendapat pesanan daripada pengarang untuk memberikan pandangan mengenai pewarisan harta. Nota editor berbunyi:  "Su cuba kupas pemasalahan ini... seorang suami berpoligami... semasa perkahwinan pertama dia membeli sebuah rumah atas namanya yang bayaran dibuat sepenuhnya oleh si suami.

Bila berkahwin kali kedua dia dan isteri kedua berkongsi nama membeli sebuah rumah, bayaran dikongsi bersama walaupun peratus bayaran suami lebih tinggi kerana termasuk kos ubahsuai rumah.

Persoalannya:
1: Adakah anak-anak daripada isteri kedua boleh menuntut hak ke atas rumah pertama yang 100% milik suami?

2: Bolehkah anak-anak daripada isteri pertama menuntut hak ke atas rumah kedua yg dibeli oleh suami secara berkongsi dengan isteri kedua?

3: Jika terdapat persepakatan antara mereka bahawa rumah pertama hak keluarga isteri pertama 100% dan rumah kedua hak isteri kedua 100% apakah dibolehkan dalam hukum sedangkan nilai antara kedua-dua rumah itu tidak sama?

4: Jika dibolehkan perlukah suami membuat pertukaran hak milik?

5: Apa pula patut dilakukan jika tiada persepakatan?

Mereka yang berpoligami termasuk dalam kalangan golongan kritikal selain daripada mereka yang berkahwin tetapi tidak dikurniakan zuriat, mempunyai anak perempuan sahaja, tidak berkahwin, ada anak bawah umur ataupun mempunyai anak angkat.

Dalam permasalahan di atas apa yang akan berlaku sekiranya suami meninggal dunia?

Isu utamanya di sini adalah siapakah waris-waris suami atau si mati? Selain daripada dua isteri dan anak-anaknya, adakah si mati masih mempunyai ibu dan bapa? Bagaimana pula dengan anak-anaknya? Adakah dia mempunyai anak lelaki dan perempuan atau si mati mempunyai anak perempuan saja?

Setelah dapat dipastikan siapakah waris-warisnya, barulah isu pembahagian atau pengagihan dapat dibuat. Mengikut struktur faraid, apabila si mati masih mempunyai ibu dan bapa, masing-masing akan dapat 1/6 daripada bahagian pusaka. Anak lelaki akan mendapat dua bahagian manakala anak perempuan, satu bahagian.

Bahagian paling kecil adalah bahagian isteri. Isteri hanya mendapat 1/8  bahagian atau12.5% daripada nilai keseluruhan harta. Sekiranya si mati hanya ada seorang isteri,  dia akan mendapat bahagian itu penuh tetapi jika isteri berkongsi kasih dengan dua, tiga atau empat wanita lagi, bahagian 1/8 itu perlu dibahagi dua, tiga ataupun empat! Tidak ada bezanya hak isteri yang dinikahi 20 tahun lalu ataupun yang baru dikahwini dua bulan lepas!

Sekiranya si mati mempunyai anak perempuan saja, struktur faraidnya akan menjadi bertambah rumit. Isteri masih kekal dengan bahagian 1/8 manakala anak perempuan mendapat 1/2 (jika seorang) atau 2/3 (jika lebih seorang).

Jika si mati masih ada ibu atau bapa, bahagian selebihnya akan pergi kepada mereka dan terhenti di situ. Tetapi jika kedua-duanya sudah tiada, adik-beradik si mati berhak mendapat bahagian selebihnya itu dan sejumlah bahagian lagi untuk Baitulmal.

Struktur pembahagian faraid (sila rujuk laman web usmfaraid)

Penjelasan di atas bukan bermaksud untuk mempertikaikan hukum Allah SWT kerana Allah SWT Maha Mengetahui, mengatur dan menyusun setiap sesuatu itu dengan indah, kemas, cantik dan teliti. Anak lelaki mendapat bahagian yang lebih besar kerana tanggung jawabnya juga besar. Tidak akan timbul masalah dan kerumitan jika masing-masing memahami tugas dan tanggung jawab masing-masing. Begitu juga pusaka yang diterima adik-beradik si mati sekiranya si mati meninggalkan isteri dan anak perempuan saja. Menjadi kewajipan waris-waris untuk menjaga kebajikan mereka yang ditinggalkan.

Hakikatnya kehidupan jauh menyimpang. Apabila berlaku kematian, sering kali hubungan antara adik-beradik menjadi semakin renggang. Pusaka yang ditinggalkan jarang sekalu dapat menyatukan hati-hati yang ditinggalkan malah menyebabkan berlakunya pergeseran, pertelingkahan, bermasam muka sehingga membawa pecah belah dalam keluarga. Harta yang ditinggalkan bukan lagi menjadi harta pusaka yang membuatkan mereka yang ditinggalkan lebih bersyukur kerana mendapat harta percuma tetapi menjadi harta puaka yang mengazabkan roh si mati.

Mengupas persoalan di atas, adakah anak isteri kedua boleh menuntut hak rumah pertama? Jawapannya, boleh. Anak isteri kedua mempunyai hak bukan saja ke atas rumah pertama malah ke atas rumah kedua yang dibeli secara perkongsian dengan isteri kedua.

Begitu juga dengan anak-anak daripada isteri pertama. Mereka mempunyai hak ke atas rumah pertama dan juga ke atas rumah yang didiami oleh isteri kedua.

Malah isteri pertama dan kedua juga mempunyai hak yang sama ke atas kedua-dua rumah berkenaan selain ibu dan bapa si mati sekiranya ibu bapanya masih hidup.

Cuma yang berbezanya adalah dari segi peratus pembahagian. Rumah pertama  100% milik suami menjadi harta pusaka manakala 50% daripada nilai rumah kedua menjadi harta pusaka. Sejumlah 50% lagi adalah milik isteri kedua. Sekiranya tidak membuat perancangan pewarisan awal, harta berkenaan perlulah dibahagikan mengikut syariat.

Kedua-dua isteri boleh mengemukakan tuntutan harta sepencarian di mahkamah syariah bukan saja ke atas rumah dan hartanah malah aset-aset lain dan tertakluk kepada budi bicara mahkamah berdasarkan bukti-bukti yang diberikan.

Namun sekiranya ada sepakatan daripada kedua-dua belah keluarga isteri pertama dan isteri kedua dan waris-waris lain termasuk ibu dan bapa si mati (sekiranya kedua-duanya masih hidup) rela dan redha melepaskan hak masing-masing, ia boleh dilaksanakan sekalipun kedua-dua rumah berkenaan tidak sama nilainya.

Persoalan utamanya di sini adakah setiap waris itu bersetuju dan redha melepaskan hak masing-masing? Sekalipun si mati sudah meninggalkan wasiat mengenai kedua-dua rumah berkenaan, sekiranya ada waris yang tidak bersetuju, wasiat itu dengan sendirinya terbatal dan tidak boleh dilaksanakan. Ia perlu kembali kepada hukum asal iaitu faraid.

Dan di sinilah akan timbul pelbagai kesulitan dan kerumitan, apalagi apabila si mati tidak melantik wasi atau pentadbir, boleh jadi individu dari kalangan waris-waris sendiri ataupun mana-mana badan pemegang amanah.

Pertama sekali yang perlu dilakukan waris-waris adalah berbincang untuk melantik seorang dikalangan mereka untuk menjadi wasi atau pentadbir. Perlu diketahui apakah tugas-tugas wasi itu dan ke mana permohonan itu patut dikemukakan samada Pejabat Tanah (bahagian pesaka kecil) atau Mahkamah Tinggi. Setelah dapat surat Kuasa Mentadbir atau Letter of Administration (LA) barulah pembahagian pusaka boleh dibuat.

Perlantikan pentadbir inilah bab paling kritikal dalam pengurusan pusaka orang Islam. Ramai di kalangan masyarakat tidak mengetahui ke mana harus dituju kerana ada beberapa pihak yang terbabit dalam pengurusan untuk mendapat harta pusaka ini iaitu Amanah Raya Berhad, Pejabat Tanah (Bahagian Pesaka Kecil), Mahkamah Sivil dan Makmamah Syariah.

Berbeza keadaannya apabila ketika masih hidup si suami sudah membuat perancangan pewarisan awal seperti  hibah, memberikan kedua-dua rumah berkenaan kepada isteri-isterinya. Hibah adalah pemberian atas dasar kasih sayang tanpa mengharapkan sebarang balasan. Sekiranya perancangan ini sudah dibuat lebih awal, tidak akan timbul isu lagi kerana harta yang dihibahkan sudah terkeluar daripada harta pusaka.

Hibah adalah perancangan pewarisan harta terbaik yang dapat meleraikan banyak isu rencam dan rumit dalam keluarga. Menariknya, hibah adalah pemberian semasa hidup dan hanya terlaksana selepas mati. Dalam tempoh berkenaan ( sebelum kematian) pemberi hibah masih boleh menikmati hasilnya dan boleh juga ditarik balik jika dihibahkan pada anak cucu ataupun orang lain yang tiada pertalian keluarga. Hibah pada isteri, jika ingin ditarik balik perlu mendapatkan persetujuan isteri terlebih dulu.

Namun jika ketika masih hidup suami sudah memindah milik rumah berkenaan kepada isteri-isterinya, tidak lagi timbul isu apabila berlaku kematian kerana aset itu bukan lagi milik suami tetapi sudah menjadi milik mutlak isterinya.

--------------------------------------------------------------

Suraiya Mohd Nor adalah senior konsultan perancangan kewangan dan pengurusan harta. Kepakarannya adalah menyediakan perkhidmatan perancangan kewangan dan pengurusan harta secara syariah, komprehensif, pantas dan mudah bagi membantu masyarakat Islam di negara ini. Masalahnya sekarang ini, ramai dikalangan masyarakat tidak mengetahui mengenai aspek pengurusan harta sebelum kematian, wasiat yang memudaratkan, prosedur permohonan dan tuntutan yang rumit serta mengambil masa yang panjang, selain kos yang tinggi. Perkhidmatan yang disediakan ini membantu masyarakat Islam khususnya membuat perancangan awal agar tidak menyulit dan membebankan waris-waris yang ditinggalkan. Sebarang pertanyaan, emel ke suraiyanor@yahoo.com atau SMS ke 013 3311981.

4 comments:

  1. Berapa lama kah peroses pencin terbitan

    ReplyDelete
  2. Bolehkah saya menuntut harta sepencarian bila suami kawin lg.dan bagaimana caranya

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum..saya ingin mendapatkan penjelasan tentang wang pencen suami yang telah meninggal..bagaimana pembahagian di antara isteri pertama, kedua dan anak2 nya?

    ReplyDelete
  4. Sekira nya telah menjual harta nye..mksud saya contoh knderaan sebelom arwah meninggal,apakah waris berhak untuk tarik balik masuk dalam faraid...

    ReplyDelete

Thanks for reading..
Jika anda mempunyai cadangan, pendapat mahupun pertanyaan yang ingin di kongsi. Dengan senang hatinya. Sila tinggalkan komen anda disini...