Tuesday, March 3, 2015

Si Model yang jalan terus...

Gambar ihsan Mr Google

INI cerita 17 tahun lalu... Mula-mula saya terima suratnya bersama beberapa keping gambar. Kemudian dia datang ke pejabat apabila saya menghubunginya untuk melihat dengan mata sendiri samada dia layak saya jadikan model peragaan pakaian atau sebaliknya.
Orangnya berkulit hitam manis, tinggi lampai walaupun sudah mempunyai empat orang anak. Ketika itu dia bekerja sebagai kerani di sebuah bank tempatan tetapi berhasrat untuk berhenti kerja dan memulakan bisnes sendiri.
Setelah berbual panjang dengannya saya bersetuju untuk mengambilnya sebagai model peragaan kami walaupun dia langsung tidak mempunyai asas memperaga pakaian. Namun kerana kesungguhan dan kepetahannya berkata-kata, saya jadi tertarik sekalipun ini bermakna tugas saya akan menjadi lebih berat kerana saya perlu mengajarnya bergaya di depan kamera.
Kali pertama gambarnya dirakam, gayanya memang agak kaku dan keras. Setelah diajar dan ditunjukkan bagaimana dia patut bergaya, kelemahannya itu dapat diperbaiki sedikit demi sedikit. Sehingga akhirnya, saya kerap memanggilnya untuk sesi penggambaran kerana sikapnya yang tidak banyak karenah. Lagipun ini saja peluang yang mana saya boleh membantunya.
“Saya nak jadi model  untuk tambah pendapatan. Saya baru saja berpisah dengan suami kerana tidak tahan hidup disepak terajang setiap hari. Keempat-empat anak kami ada bersama saya. Gaji kerani tidak cukup untuk menyara hidup kami sekeluarga. Saya perlu cari duit lebih,” katanya yang secara langsung menangkis persepsi sebilangan masyarakat mereka yang menjadikan model sebagai kerjaya adalah golongan yang mengejar glamor.
Dari situ saya mula mengenalinya secara dekat. Bila bertemu ada saja berita terbaru yang menjadi bualannya.
“Saya sudah ada syarikat sendiri, syarikat cuci papan tanda bangunan,” begitu teruja sekali dia bercerita. Syarikatnya ini mengambil kontrak mencuci papan tanda syarikat-syarikat besar di ibu negara dan syarikat pertama yang memberikan dia peluang untuk mencuci papan tanda mereka adalah bank di mana dia bekerja dahulu.
Saya agak terkejut dan tidak menyangka dia akan menceburi bidang yang begitu asing, jarang diceburi orang Melayu apalagi seorang wanita sepertinya.  Kebiasaannya wanita akan menceburi bidang kecantikan, makanan, butik pakaian, andaman yang ada kaitan dengan diri mereka. Tetapi dia berfikir di luar kotak dengan menceburi bidang yang mungkin tidak pernah terfikir oleh kebanyakan orang.
“Saya sudah mengkaji beberapa bisnes dan atas nasihat seseorang yang saya jadikan mentor, yang banyak membantu saya membangunkan syarikat dan menunjuk cara berniaga, bisnes ini memang sangat menguntungkan. Saya hanya perlu dapatkan kontrak saja daripada syarikat-syarikat yang memerlukan. Jentera-jentera seperti kren bergerak untuk mencuci papan tanda bangunan dan pekerja yang mengendalinya, saya upah mengikut keperluan.” katanya.
Dia memulakan bisnes dengan modal kerja yang kecil. Dia tidak menyewa ruang pejabat tetapi memulakan operasi perniagaannya dari rumah. Padanya keadaan itu lebih menjimatkan. Apabila dapat tender mencuci papan tanda bangunan, dia akan menyewa kren dan menggaji pekerja. Sehinggalah perniagaannya mantap barulah dia mengambil pekerja tetap.
“Masa saya memulakan perniagaan, tiada sebuah syarikat Bumiputera pun yang beroperasi dalam bidang ini. Yang ada, syarikat bangsa asing. Ia bukan perniagaan popular orang Melayu dan mungkin kerana itu saingan saya tidak sengit,” ceritanya lagi.
Hasil kerja keras syarikatnya mendapat kontrak membersihkan papan tanda bangunan untuk sebuah bank tempatan di seluruh negara. Sekali-sekala dia adakan turun padang, mengawasi pekerja-pekerja. Setelah perniagaan pertamanya mantap, bisnesnya dikembangkan lagi dengan menjadi kontraktor yang menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian dalaman.
Saya teringat lagi yang dia pernah bercerita pada saya beberapa tahun lalu: “Su, projek aku dah cecah RM1 juta tahun lepas.” Dan saya ternganga mendengarnya, kagum dengan tekad dan kesungguhannya mengubah hidup.  
Biarpun sebelum ini dia menjadi mangsa keganasan rumahtangga dan pernah rebah, dia tidak membiarkan keadaan yang dialaminya itu menguasai kehidupan. Dia bangun semula dan bertindak. Kegagalan lalu dijadikan pengajaran dan bagaimanapun caranya, hidup mesti diteruskan.
Berdasar pemerhatian, selain berjiwa kental dan bersemangat waja, sifatnya yang ramah dan bijak mengambil hati banyak membantu kejayaan perniagaannya. Jika berurusan di sesebuah tempat atau pejabat, dia akan menyapa mesra pekerja-pekerja daripada peringkat paling bawah (termasuk tukang cuci) sehingga ke pihak atasan. Dia tidak lokek mengeluarkan duit untuk belanja makan dan apabila tiba musim perayaan, menghadiahkan hamper bukan saja untuk bos-bos malah untuk pekerja-pekerja bawahan.
“Bila sudah ada jalinan hubungan yang baik dan mesra, ia memudahkan kerja saya. Adalah lebih mudah berurusan dengan orang yang kita kenali daripada yang tidak dikenali,” katanya lagi.
Melihat pada pencapaian dan kejayaan yang dinikmatinya kini, saya rasa bertuah kerana dapat melihat sendiri bagaimana dia mula bertapak dan memulakan langkah-langkah awal. Apabila sudah membuat perancangan dan operasinya berjalan, dia jalan terus...
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Suraiya Mohd Nor adalah seorang konsultan yang mempunyai 10 tahun pengalaman dalam bidang kewangan dan perancangan harta. 
Kepakarannya adalah menyediakan perkhidmatan pengurusan dan perancangan harta secara syariah komprehensif yang pantas dan mudah bagi membantu masyarakat Islam di negara ini.
Masalahnya sekarang ini apabila berlaku kematian, kebanyakan waris-waris bercakaran sesama sendiri. Ramai yang tidak tahu bagaimana membuat tuntutan kerana prosesnya yang sulit dan rumit serta membabitkan kos yang tinggi. Tidak menghairankan jika kini terdapat,LEBIH RM60 BILLION harta beku dan tidak dituntut ekoran masalah-masalah yang disebutkan tadi.
Untuk keterangan lanjut SMS/WA ke 013-3311981 atau emel ke suraiya@kausarwealth.com untuk mengetahui bagaimana waris-waris anda boleh mendapatkan perkhidmatan ini secara PERCUMA.


No comments:

Post a Comment

Thanks for reading..
Jika anda mempunyai cadangan, pendapat mahupun pertanyaan yang ingin di kongsi. Dengan senang hatinya. Sila tinggalkan komen anda disini...