Sunday, March 1, 2015

7 Prinsip Hidup Kaya Raya


SEMUA orang mahu hidup senang dan hidup kaya raya. Jika ditanya, tidak ada seorangpun yang mahu hidup melarat  dan tidak berharta. Tetapi kenapa ramai yang hidupnya terhimpit dan tersepit kerana wang? Ada yang berhutang keliling pinggang. Ada yang belum habis bulan, gaji sudah pun habis! Ada yang terpaksa meminjam di sana-sini. Justeru, di mana silapnya?

Mungkin kita membaca The Richest Man In Babylon,  buku yang ditulis George Samuel Clason. Buku yang diterbitkan pada 1926 ini memberi garis panduan bagaimana untuk mengurus, mengembangkan wang sehingga menjadi kaya-raya.

Ada tujuh prinsip yang perlu diikuti:

1.      Simpan sekurang-kurangnya 10% peratus daripada pendapatan.
Apabila dapat gaji, bayar diri sendiri dulu. Orang pertama yang wajib dibayar adalah diri anda sendiri. Setiap hari anda keluar bekerja dari pagi sampai ke malam. Bila dapat gaji, selalunya anda utamakan orang lain dulu. Bayar pinjaman rumah, pinjaman kereta, upah jaga anak, bayar bil telefon, air dan api, beli barang dapur dan keperluan lain dan saki-bakinya baru terfikir untuk disimpan. Anda menjadi orang terakhir mendapat upah sedangkan anda berpenat-lelah, bertungkus-lumus setiap hari bekerja!
2.      Kawal perbelanjaan
Untuk mengawal perbelanjaan, anda perlu tahu membezakan antara keperluan dan keinginan. Contohnya, kasut baru ataupun susu anak. Duit dapur ataupun duit pergi spa. Bayar pinjaman pendidikan atau duit pergi melancong. Mana satu perbelanjaan perlu dan tidak perlu?

Perbelanjaan keperluan adalah perbelanjaan asas yang perlu anda sediakan setiap bulan. Ini termasuk perbelanjaan tetap seperti sewa rumah, kenderaan dan perjalanan ulang-alik ke tempat kerja, barang dapur, bil telefon dan uliti, susu dan lampin anak, upah pengasuh dan lain-lain perbelanjaan berkaitan yang perlu anda peruntukan setiap bulan.

Perbelanjaan diri seperti membeli pakaian, kasut dan beg tangan, alat solek dan sebagainya adalah perbelanjaan berkala yang tidak semestinya perlu anda keluarkan setiap bulan. Namun sekiranya, setiap bulan anda perlu beli baju, tudung ataupun kasut baru, sedangkan koleksi pakaian dan perhiasan anda sudah penuh beberapa almari tetapi tetap rambang mata untuk menambah koleksi baru, pembaziran sudah berlaku. Elakkan daripada berbelanja barang tidak perlu kecuali anda rasa sudah tibanya untuk memberi penghargaan pada diri.

3.      Gandakan duit anda.
Sebahagian pendapatan yang disisih dan disimpan itu perlu dilaburkan. Biarkan duit itu bekerja untuk tuannya! Laburkan di tempat yang boleh menjana pendapatan. Namun sebelum melabur, tanya dulu pada pakar. Jangan tanya pada tukang kasut hal-hal mengenai pelaburan kerana tukang kasut hanya tahu membaiki kasut! Bukan juga saudara-mara ataupun teman-teman rapat yang hanya dengar cerita daripada orang lain.
Dapatkan maklumat terperinci dan buat pelaburan berdasar profil risiko anda.
Paling utama, pastikan syarikat pelaburan pilihan anda itu sah. Untuk kepastian, hubungan Suruhanjaya Sekuriti (SC) supaya anda tidak terjebak dengan skim-skim yang menjanjikan pulangan lumayan setiap bulan. Selidiki syarikat berkenaan terlebih dulu dan guna logik akal, terutama bila ada yang menjanjikan pulangan konsisten setiap bulan. Timbang-timbang dan fikir-fikirkanlah.

Setelah ada keuntungan, jangan ambil keuntungan itu kerana ia ibarat anda mencantas pucuk-pucuk muda yang baru tumbuh. Biarkan ia tumbuh merimbun. Bagi masa untuk pelaburan anda itu berkembang.

4.      Lindungi duit ataupun aset anda daripada rugi.
Apabila berduit, akan ada orang yang meminta bantuan dan ingin meminjam. Membantu mereka yang dalam kesusahan memang sangat-sangat digalakkan namun bagi melindungi aset anda, dapatkan jaminan ataupun cagaran.

Ini yang dilakukan beberapa orang yang saya kenali, tidak kiralah yang meminjam itu adik-beradik ataupun orang lain. Bila ada dikalangan saudara-maranya yang perlukan duit tunai, dia memberi pinjaman tetapi dengan syarat ada cagaran. Sebagai contohnya, peminjam ada sebidang tanah sawit tetapi perlukan duit tunai segera sebanyak RM10,000.

Dia akan buat surat perjanjian dan tanahnya akan hanya dikembalikan apabila pinjamannya langsai. Selagi tidak langsai, dia akan mengambil hasil sawit.

5.      Melabur dalam hartanah.
Hartanah adalah aset yang nilai pasarannya sentiasa meningkat. Daripada terus-menerus menyewa, baik anda beli rumah sendiri. Jadikan rumah atau tempat tinggal sebagai pelaburan yang menguntungkan.

6.      Persediaan masa depan
Masa depan adalah sesuatu yang tidak pasti. Tiada siapa yang dapat memberi jaminan apa yang bakal berlaku pada masa depan. Sukar untuk diramalkan samada kita masih sihat dan berumur panjang ataupun sebaliknya. Dalam keadaan ini, Clason menyarankan untuk menyediakan dana persaraan dan juga mengambil perlindungan insurans ataupun takaful. Sekurang-kurangnya apabila ada dana persaraan ketika tua, kita tidak perlu sangat mengharapkan bantuan anak-anak. Dan sekiranya meninggal dunia, insurans ataupun takaful yang kita ambil dapat meringankan beban keluarga yang kita tinggalkan.

7.      Tingkatkan keupayaan diri.
Prinsip yang terakhirnya menggalakkan individu untuk mengoptimumkan potensi diri mereka. Mereka perlu mempunyai matlamat yang jelas dan kukuh serta berusaha keras untuk mendapatkannya. Matlamat ini bukan saja dalam perkembangan kerjaya, malah dalam hidup secara keseluruhan, menjadikan mereka manusia matang dan berpengetahuan. Apa yang dilakukan itu adalah sebagai tanda hormat pada diri sendiri dengan melakukan perkara-perkara berikut:
a.       Ada hutang, bayar hutang itu dengan segera dan tidak terus berhutang.
b.      Melindungi keluarga.
c.       Merancang pengurusan harta-hartanya ataupun buat wasiat.
d.      Belas kasihan pada yang lemah dan sakit; dan bantu ikut kemampuan terutama mereka yang hampir dengan anda.

 -------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Suraiya Mohd Nor adalah seorang konsultan kewangan yang mempunyai 10 tahun pengalaman dalam pengurusan harta dan kewangan. Kepakarannya adalah membantu individu membuat perancangan  harta ketika mereka masih hidup yang memudahkan waris-waris membuat tuntutan apabila berlaku kematian dan mendapat pusaka dengan cepat tanpa sebarang kos.
Masalahnya sekarang ini ramai dikalangan waris tidak mengetahui bagaimana membuat tuntutan, terpaksa menunggu bertahun-tahun sebelum pusaka dapat diagihkan, membabitkan kos yang tinggi. Kepakaran beliau dapat membantu si mati dan meringankan beban waris yang ditinggalkan.

1 comment:

  1. Thanks infonya. Oiya ngomongin kekayaan, ternyata ada loh miliarder dunia yang bisa mempertahankannya hingga usia 90 tahun lebih. Namanya Jim Pattison. Kira-kira apa ya rahasia sukses dirinya? Kalo temen-temen penasaran bisa cek di sini: Berusia 90 tahun lebih, ini tips sukses dari Jimmy Pattison

    ReplyDelete

Thanks for reading..
Jika anda mempunyai cadangan, pendapat mahupun pertanyaan yang ingin di kongsi. Dengan senang hatinya. Sila tinggalkan komen anda disini...