Wednesday, March 4, 2015

Bolehkah waris angkat tuntut harta?


SEMALAM ada seorang bertanya kepada saya menerusi wasap mengenai perkara di atas. Cuma saya agak kurang jelas mengenai siapakah yang dimaksudkan waris angkatnya itu.

Bagi menjawab soalannya, waris angkat memang tidak boleh menuntut harta pusaka kecuali harta itu harta HIBAH, iaitu harta yang diberi kepadanya atas dasar kasihsayang ketika pemilik harta itu masih hidup. Setelah pemilik harta itu meninggal dunia, semua hartanya perlu difaraidkan kecuali sebelum meninggal dunia, si mati sudah membuat perancangan pengurusan harta bagaimana seharusnya harta-hartanya itu diagihkan.

Perancangan awal yang dibuat pemilik harta akan memudahkan waris-warisnya. Waris tidak perlu berdepan dengan prosedur permohonan yang sulit dan rumit, tempoh menunggu yang panjang membabitkan kos yang membebankan.

Sekiranya sebelum mati, pemilik harta ini sudah melantik PENTADBIR atau WASI, antara tugas-tugasnya adalah:
1. menguruskan urusan pengebumian
2. mengumpul semua harta alih dan tak alih si mati seperti rumah, tanah, duit simpanan, saham-saham dsbnya
3. membayar hutang-piutang termasuk hutang dunia dan hutang akhirat
4. melaksana wasiat satu pertiga membabitkan sedekah jariah, wakaf ataupun pemberian sebahagian hartanya kepada mana-mana individu, pusat-pusat kebajikan, rumah-rumah anak yatim ataupun pondok tahfiz supaya pahalanya dapat dinikmati berterusan walaupun setelah dia mati.

Pentadbir ini boleh dilantik dari mana-mana badan pemegang amanah ataupun dari kalangan waris-waris sendiri. Perancangan awal ini penting kerana ia boleh mengelakkan daripada timbulnya pergaduhan sesama ahli keluarga yang membawa pecah-belah, putus tali persaudaraan sehingga ada ke tahap bunuh-membunuh.

Sekiranya si mati tidak membuat perancangan awal, sesudah mati waris-warisnya perlu berkumpul dan melantik satu atau dua orang dikalangan mereka sebagai pentadbir, Dia perlu membuat permohonan dengan mengisi Borang A, Borang Permohonan Awal yang boleh di dapati di Pejabat Tanah dan Galian, Unit Pembahagian Harta Pusaka. Untuk lebih jelas sila klik link:http://www.kptg.gov.my/?q=content/pembahagian-pusaka-kecil

 Sebelum membuat permohonan ini, pentadbir perlu mempunyai maklumat lengkap mengenai harta-harta si mati - di mana semua harta-hartanya dan siapa waris-warisnya. Bagi harta tak alih seperti hartanah, dia perlu mendapatkan salinan geran dengan membuat carian di pejabat tanah, pergi ke bank-bank untuk mendapatkan jumlah terkini akaun simpanannya, mendapatkan salinan geran kereta, sijil-sijil pelaburannya dan sebagaimana yang tertera namanya sebagai pemilik.

Mungkin juga si mati ada harta yang dipegang oleh orang lain sebagai proxy. Ataupun mungkin juga si mati memegang harta orang lain. Jika ada, harta-harta ini perlu dituntut dan harta yang diamanahkan padanya perlu dikembalikan.

Konsep pengurusan harta ini begini. Ketika hidup si mati adalah pemilik kepada semua harta-hartanya. Jika dia ada akaun bank, dia bebas mengeluar dan memasukkan. Jika dia ada kereta, dia boleh pada bila-bila masa menjual atau menghidupkan cukai jalan keretanya yang sudah tamat tempoh. Setelah dia mati, semua transaksi itu terhenti. Harta-hartanya dibekukan. Jika dia ada anak-isteri, anak dan isterinya tidak boleh mengeluarkan wang yang dia ada untuk kegunaan perbelanjaan seharian. Dan pastinya, ini akan menyulitkan kehidupan mereka terutama bila isteri tidak bekerja.

Proses bagi mendapatkan semula harta si mati itu rumit. Bagi harta yang nilai bawah RM2juta, permohonannya perlu dibuat di Pejabat Tanah. Yang mempunyai nilai harta lebih RM2juta perlu dibuat di Mahkamah Tinggi dan mereka yang dilantik sebagai pentadbir (waris persendirian yang tidak diwakili badan pemegang amanah) untuk menuntut pusaka lebih RM2 juta perlu menyediakan 2 Bon Jaminan yang nilai hartanya sama atau lebih daripada harta si mati.

Banyak sebenarnya yang ingin saya kongsikan yang kita tidak tahu, di mana sebelum ini saya juga tidak tahu. Dulu saya selalu fikir: Apa susah, bila mati nanti harta yang kita ada tu faraidkan saja! Memang betul. Itu memang kehendak hukum tetapi faraid itu adalah proses terakhir. Sebelum boleh difaraidkan waris perlu melalui pelbagai prosedur, diuji kekuatan iman dari sifat tamak dan haloba, keutuhan tali persaudaraan dan sama ada harta yang ditinggalkan itu membuat waris rasa bersyukur atau rasa terbeban dengan kita.

Justeru, fikir-fikirkan lah. Harta kita adalah tanggungjawab kita. Sebaik-baik harta adalah harta yang bermanfaat apabila ia diuruskan dengan baik dan kebaikannya masih boleh kita terima walaupun apabila kita sudah tiada...

Emosi pula rasanya apabila mengenangkan ayahanda saya yang sudah kembali ke Rahmatullah... Al-Fatihah.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Suraiya Mohd Nor adalah seorang konsultan yang mempunyai 10 tahun pengalaman dalam bidang kewangan dan perancangan harta. 
Kepakarannya adalah menyediakan perkhidmatan perancangan kewangan, perkhidmatan pengurusan dan perancangan harta secara syariah komprehensif yang pantas dan mudah bagi membantu masyarakat Islam di negara ini.


1 comment:

Thanks for reading..
Jika anda mempunyai cadangan, pendapat mahupun pertanyaan yang ingin di kongsi. Dengan senang hatinya. Sila tinggalkan komen anda disini...