Sunday, March 8, 2015
7 tanda telusnya kasih suami
DUA-TIGA hari ini saya jadi tempat luahan perasaan. Ada isteri yang rasa tertipu dan teraniaya apabila suaminya mula berjinak-jinak dengan wanita lain. Ada pula yang diceraikan, dibuang terus dari hidup suami. Kedua-dua perkahwinan ini dibina atas dasar cinta dan kasih-sayang. Demi suami dan kebahagiaan bersama, mereka sanggup berhenti kerja bagi memberi sokongan padu pada suami. Tetapi apabila bisnes sudah maju, wang pun sudah banyak di tangan, si isteri sudah tidak lagi menarik pada kacamata suami. Hilang semua pengorbanan mereka malah cela yang dicari.
Begitulah lumrah hidup. Panas tidak semesti sampai ke petang. Ada ketika berlaku hujan di tengahari. Kasih sayang yang pada mulanya terbina utuh mungkin akan pudar dan terlerai.
Namun tidak semuanya begitu. Ada pasangan yang kasih sayangnya semakin kukuh. Ujian badai tidak berjaya meruntuhkan istana cinta yang mereka bina. Semuanya bergantung pada tindakan diri dan ketentuan yang Allah SWT tetapkan. Sememangnya hidup tidak terlepas daripada ujian...
Hubungan yang berjaya memerlukan kerjasama dan bersikap telus. Jangan ada yang tersembunyi dan tersimpan kerana selagi ada rahsia, akan ada tanda tanya. Soalan-soalan di bawah ini mungkin dapat memberi gambaran sejauh mana telusnya kasih suami anda.
1. Adakah dia memberitahu anda semua akaun-akaun simpanannya? Bank apa, nombor akaun, saham-saham, membabitkan semua simpanan tunainya.
2. Adakah dia mengambil polisi insurans untuk dirinya bagi memastikan diri anda dan keluarga terpelihara sekiranya berlaku sesuatu kepadanya?
3. Adakah dia memberitahu atau berbincang dengan anda mengenai hartanah yang dimiliki. Adakah anda tahu di mana dokumen Perjanjian Jual-Beli itu, bank mana yang membiayai, jumlah pinjamannya ataupun salinan geran bagi pembelian tanah.
4. Adakah dia memberitahu anda nombor akaun KWSPnya, berapa banyak jumlahnya dan siapa penamanya?
5. Adakah dia mengambil perlindungan kesihatan untuk diri anda dan keluarga bagi memastikan anda mendapat rawatan terbaik sekiranya dia tiada?
6. Adakah dia menghibahkan sebahagian hartanya kepada anda ataupun anak anda terutama jika anak anda itu perempuan?
7. Adakah dia memberitahu anda bahawa dia sudah membuat perancangan harta bagi memastikan ketiadaannya tidak menyukarkan hidup anda dan anda dapat meneruskan hidup bersama anak-anak dengan baik.
Sekira jawapannya YA pada persoalan di atas, kasih suami anda memang sangat telus. Dia sudah membuat perancangan awal yang jitu lagi komprehensif sebagai seorang suami dan ketua keluarga yang sentiasa menyayangi dan melindungi orang-orang yang disayanginya. Anda memang sangat beruntung...
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Suraiya Mohd Nor adalah senior konsultan perancangan kewangan dan pengurusan harta. Kepakarannya adalah menyediakan perkhidmatan perancangan kewangan dan pengurusan harta secara syariah, komprehensif, pantas dan mudah bagi membantu masyarakat Islam di negara ini.
Masalahnya sekarang ini, ramai dikalangan masyarakat tidak mengetahui mengenai aspek pengurusan harta sebelum kematian, wasiat yang memudaratkan, prosedur permohonan dan tuntutan yang rumit serta mengambil masa yang panjang, selain kos yang tinggi.
Perkhidmatan yang disediakan ini membantu masyarakat Islam khususnya membuat perancangan awal agar tidak menyulit dan membebankan waris-waris yang ditinggalkan.
Sebarang pertanyaan, emel ke suraiyanor@yahoo.com atau SMS ke 013 3311981.
Labels:
blog,
kasih suami,
penurusan harta pusaka,
wasiat
Thursday, March 5, 2015
Kisah cermin mata..
Ini cermin mata baru saya. Baru saja dua minggu ditukar menggantikan cermin mata lama. Walaupun masih dalam proses membiasakan diri dengan bentuk dan penampilannya yang sedikit berbeza, saya tidak peduli apabila anak-anak berkata, ia tidak sesuai, nampak macam lain, besar sangat, mak macam pakai sunglasses...bla..bla...bla.
Saya diam saja. Senyum. Adakala rasa nak marah tapi pendamkan saja. Terlepas juga cakap: "Suka hati maklah. Mak beli dan mak suka. Tak minta duit korangpun!"
Tapi itulah hakikat hidup. Persekitaran berubah dan manusia turut berubah. Anak-anak semakin membesar dan mereka sudah mempunyai pandangan sendiri. Umumnya, masyarakat pun begitu. Bila sudah memiliki sesuatu, kita ingin memiliki yang lain.
Manusia memang sentiasa inginkan perubahan. Hidup tidak boleh statik kecuali hidup dalam hutan yang langsung tiada hubungan dengan dunia luar. Manusia sebagai makhluk sosial memang perlu berubah dan WAJIB berubah untuk mendapatkan sesuatu yang lebih baik.
Memang orang akan mengata, ada yang tidak suka, tidak senang dengan perubahan yang kita lakukan. Pedulikan. Jangan ambil pusing. Suka hati kitalah, nak buat apa dengan diri dan hidup kita jika kita rasa apa yang kita lakukan itu untuk kebaikan.
Jangan dengar cakap-cakap orang sekeliling KECUALI jika orang itu pakar dan terbukti kepakarannya dalam bidang berkenaan. Yang itu, memang kita patut DENGAR dan IKUT. Jadikan orang itu mentor kita - sedut sebanyak-banyak ilmu darinya.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Suraiya Mohd Nor adalah senior konsultan perancangan kewangan dan pengurusan harta. Kepakarannya adalah menyediakan perkhidmatan perancangan kewangan dan pengurusan harta secara syariah, komprehensif, pantas dan mudah bagi membantu masyarakat Islam di negara ini.
Masalahnya sekarang ini, ramai dikalangan masyarakat tidak mengetahui mengenai aspek pengurusan harta sebelum kematian, wasiat yang memudaratkan, prosedur permohonan dan tuntutan yang rumit serta mengambil masa yang panjang, selain kos yang tinggi.
Perkhidmatan yang disediakan ini membantu masyarakat Islam khususnya membuat perancangan awal agar tidak menyulit dan membebankan waris-waris yang ditinggalkan.
Sebarang pertanyaan, emel ke suraiyanor@yahoo.com atau SMS ke 013 3311981.
Suraiya Mohd Nor adalah senior konsultan perancangan kewangan dan pengurusan harta. Kepakarannya adalah menyediakan perkhidmatan perancangan kewangan dan pengurusan harta secara syariah, komprehensif, pantas dan mudah bagi membantu masyarakat Islam di negara ini.
Masalahnya sekarang ini, ramai dikalangan masyarakat tidak mengetahui mengenai aspek pengurusan harta sebelum kematian, wasiat yang memudaratkan, prosedur permohonan dan tuntutan yang rumit serta mengambil masa yang panjang, selain kos yang tinggi.
Perkhidmatan yang disediakan ini membantu masyarakat Islam khususnya membuat perancangan awal agar tidak menyulit dan membebankan waris-waris yang ditinggalkan.
Sebarang pertanyaan, emel ke suraiyanor@yahoo.com atau SMS ke 013 3311981.
Wednesday, March 4, 2015
Bolehkah waris angkat tuntut harta?
SEMALAM ada seorang bertanya kepada saya menerusi wasap mengenai perkara di atas. Cuma saya agak kurang jelas mengenai siapakah yang dimaksudkan waris angkatnya itu.
Bagi menjawab soalannya, waris angkat memang tidak boleh menuntut harta pusaka kecuali harta itu harta HIBAH, iaitu harta yang diberi kepadanya atas dasar kasihsayang ketika pemilik harta itu masih hidup. Setelah pemilik harta itu meninggal dunia, semua hartanya perlu difaraidkan kecuali sebelum meninggal dunia, si mati sudah membuat perancangan pengurusan harta bagaimana seharusnya harta-hartanya itu diagihkan.
Perancangan awal yang dibuat pemilik harta akan memudahkan waris-warisnya. Waris tidak perlu berdepan dengan prosedur permohonan yang sulit dan rumit, tempoh menunggu yang panjang membabitkan kos yang membebankan.
Sekiranya sebelum mati, pemilik harta ini sudah melantik PENTADBIR atau WASI, antara tugas-tugasnya adalah:
1. menguruskan urusan pengebumian
2. mengumpul semua harta alih dan tak alih si mati seperti rumah, tanah, duit simpanan, saham-saham dsbnya
3. membayar hutang-piutang termasuk hutang dunia dan hutang akhirat
4. melaksana wasiat satu pertiga membabitkan sedekah jariah, wakaf ataupun pemberian sebahagian hartanya kepada mana-mana individu, pusat-pusat kebajikan, rumah-rumah anak yatim ataupun pondok tahfiz supaya pahalanya dapat dinikmati berterusan walaupun setelah dia mati.
Pentadbir ini boleh dilantik dari mana-mana badan pemegang amanah ataupun dari kalangan waris-waris sendiri. Perancangan awal ini penting kerana ia boleh mengelakkan daripada timbulnya pergaduhan sesama ahli keluarga yang membawa pecah-belah, putus tali persaudaraan sehingga ada ke tahap bunuh-membunuh.
Sekiranya si mati tidak membuat perancangan awal, sesudah mati waris-warisnya perlu berkumpul dan melantik satu atau dua orang dikalangan mereka sebagai pentadbir, Dia perlu membuat permohonan dengan mengisi Borang A, Borang Permohonan Awal yang boleh di dapati di Pejabat Tanah dan Galian, Unit Pembahagian Harta Pusaka. Untuk lebih jelas sila klik link:http://www.kptg.gov.my/?q=content/pembahagian-pusaka-kecil
Sebelum membuat permohonan ini, pentadbir perlu mempunyai maklumat lengkap mengenai harta-harta si mati - di mana semua harta-hartanya dan siapa waris-warisnya. Bagi harta tak alih seperti hartanah, dia perlu mendapatkan salinan geran dengan membuat carian di pejabat tanah, pergi ke bank-bank untuk mendapatkan jumlah terkini akaun simpanannya, mendapatkan salinan geran kereta, sijil-sijil pelaburannya dan sebagaimana yang tertera namanya sebagai pemilik.
Mungkin juga si mati ada harta yang dipegang oleh orang lain sebagai proxy. Ataupun mungkin juga si mati memegang harta orang lain. Jika ada, harta-harta ini perlu dituntut dan harta yang diamanahkan padanya perlu dikembalikan.
Konsep pengurusan harta ini begini. Ketika hidup si mati adalah pemilik kepada semua harta-hartanya. Jika dia ada akaun bank, dia bebas mengeluar dan memasukkan. Jika dia ada kereta, dia boleh pada bila-bila masa menjual atau menghidupkan cukai jalan keretanya yang sudah tamat tempoh. Setelah dia mati, semua transaksi itu terhenti. Harta-hartanya dibekukan. Jika dia ada anak-isteri, anak dan isterinya tidak boleh mengeluarkan wang yang dia ada untuk kegunaan perbelanjaan seharian. Dan pastinya, ini akan menyulitkan kehidupan mereka terutama bila isteri tidak bekerja.
Proses bagi mendapatkan semula harta si mati itu rumit. Bagi harta yang nilai bawah RM2juta, permohonannya perlu dibuat di Pejabat Tanah. Yang mempunyai nilai harta lebih RM2juta perlu dibuat di Mahkamah Tinggi dan mereka yang dilantik sebagai pentadbir (waris persendirian yang tidak diwakili badan pemegang amanah) untuk menuntut pusaka lebih RM2 juta perlu menyediakan 2 Bon Jaminan yang nilai hartanya sama atau lebih daripada harta si mati.
Banyak sebenarnya yang ingin saya kongsikan yang kita tidak tahu, di mana sebelum ini saya juga tidak tahu. Dulu saya selalu fikir: Apa susah, bila mati nanti harta yang kita ada tu faraidkan saja! Memang betul. Itu memang kehendak hukum tetapi faraid itu adalah proses terakhir. Sebelum boleh difaraidkan waris perlu melalui pelbagai prosedur, diuji kekuatan iman dari sifat tamak dan haloba, keutuhan tali persaudaraan dan sama ada harta yang ditinggalkan itu membuat waris rasa bersyukur atau rasa terbeban dengan kita.
Justeru, fikir-fikirkan lah. Harta kita adalah tanggungjawab kita. Sebaik-baik harta adalah harta yang bermanfaat apabila ia diuruskan dengan baik dan kebaikannya masih boleh kita terima walaupun apabila kita sudah tiada...
Emosi pula rasanya apabila mengenangkan ayahanda saya yang sudah kembali ke Rahmatullah... Al-Fatihah.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Suraiya Mohd Nor adalah seorang konsultan yang mempunyai 10 tahun pengalaman dalam bidang kewangan dan perancangan harta.
Kepakarannya adalah menyediakan perkhidmatan perancangan kewangan, perkhidmatan pengurusan dan perancangan harta secara syariah komprehensif yang pantas dan mudah bagi membantu masyarakat Islam di negara ini.
Labels:
blog,
pengurusan harta pusaka,
waris angkat,
wasi
Tuesday, March 3, 2015
Si Model yang jalan terus...
Gambar ihsan Mr Google |
INI cerita 17 tahun lalu... Mula-mula saya terima suratnya bersama beberapa keping
gambar. Kemudian dia datang ke pejabat apabila saya menghubunginya untuk
melihat dengan mata sendiri samada dia layak saya jadikan model peragaan
pakaian atau sebaliknya.
Orangnya berkulit hitam manis, tinggi lampai walaupun sudah
mempunyai empat orang anak. Ketika itu dia bekerja sebagai kerani di sebuah
bank tempatan tetapi berhasrat untuk berhenti kerja dan memulakan bisnes
sendiri.
Setelah berbual panjang dengannya saya bersetuju untuk
mengambilnya sebagai model peragaan kami walaupun dia langsung tidak mempunyai
asas memperaga pakaian. Namun kerana kesungguhan dan kepetahannya berkata-kata,
saya jadi tertarik sekalipun ini bermakna tugas saya akan menjadi lebih berat
kerana saya perlu mengajarnya bergaya di depan kamera.
Kali pertama gambarnya dirakam, gayanya memang agak kaku dan keras. Setelah diajar dan ditunjukkan bagaimana dia patut bergaya,
kelemahannya itu dapat diperbaiki sedikit demi sedikit. Sehingga akhirnya, saya kerap memanggilnya untuk sesi penggambaran kerana sikapnya yang tidak banyak
karenah. Lagipun ini saja peluang yang mana saya boleh membantunya.
“Saya nak jadi model
untuk tambah pendapatan. Saya baru saja berpisah dengan suami kerana
tidak tahan hidup disepak terajang setiap hari. Keempat-empat anak kami ada
bersama saya. Gaji kerani tidak cukup untuk menyara hidup kami sekeluarga. Saya
perlu cari duit lebih,” katanya yang secara langsung menangkis persepsi
sebilangan masyarakat mereka yang menjadikan model sebagai kerjaya adalah
golongan yang mengejar glamor.
Dari situ saya mula mengenalinya secara dekat. Bila bertemu
ada saja berita terbaru yang menjadi bualannya.
“Saya sudah ada syarikat sendiri, syarikat cuci papan tanda
bangunan,” begitu teruja sekali dia bercerita. Syarikatnya ini mengambil
kontrak mencuci papan tanda syarikat-syarikat besar di ibu negara dan syarikat
pertama yang memberikan dia peluang untuk mencuci papan tanda mereka adalah
bank di mana dia bekerja dahulu.
Saya agak terkejut dan tidak menyangka dia akan menceburi
bidang yang begitu asing, jarang diceburi orang Melayu apalagi seorang wanita
sepertinya. Kebiasaannya wanita akan
menceburi bidang kecantikan, makanan, butik pakaian, andaman yang ada kaitan
dengan diri mereka. Tetapi dia berfikir di luar kotak dengan menceburi bidang
yang mungkin tidak pernah terfikir oleh kebanyakan orang.
“Saya sudah mengkaji beberapa bisnes dan atas nasihat
seseorang yang saya jadikan mentor, yang banyak membantu saya membangunkan
syarikat dan menunjuk cara berniaga, bisnes ini memang sangat menguntungkan.
Saya hanya perlu dapatkan kontrak saja daripada syarikat-syarikat yang
memerlukan. Jentera-jentera seperti kren bergerak untuk mencuci papan tanda bangunan
dan pekerja yang mengendalinya, saya upah mengikut keperluan.” katanya.
Dia memulakan bisnes dengan modal kerja yang kecil. Dia
tidak menyewa ruang pejabat tetapi memulakan operasi perniagaannya dari rumah.
Padanya keadaan itu lebih menjimatkan. Apabila dapat tender mencuci papan tanda
bangunan, dia akan menyewa kren dan menggaji pekerja. Sehinggalah perniagaannya
mantap barulah dia mengambil pekerja tetap.
“Masa saya memulakan perniagaan, tiada sebuah syarikat
Bumiputera pun yang beroperasi dalam bidang ini. Yang ada, syarikat bangsa
asing. Ia bukan perniagaan popular orang Melayu dan mungkin kerana itu saingan
saya tidak sengit,” ceritanya lagi.
Hasil kerja keras syarikatnya mendapat kontrak
membersihkan papan tanda bangunan untuk sebuah bank tempatan di seluruh negara.
Sekali-sekala dia adakan turun padang, mengawasi pekerja-pekerja. Setelah
perniagaan pertamanya mantap, bisnesnya dikembangkan lagi dengan menjadi
kontraktor yang menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian dalaman.
Saya teringat lagi yang dia pernah bercerita pada saya
beberapa tahun lalu: “Su, projek aku dah cecah RM1 juta tahun lepas.” Dan saya
ternganga mendengarnya, kagum dengan tekad dan kesungguhannya mengubah hidup.
Biarpun sebelum ini dia menjadi mangsa keganasan rumahtangga
dan pernah rebah, dia tidak membiarkan keadaan yang dialaminya itu menguasai
kehidupan. Dia bangun semula dan bertindak. Kegagalan lalu dijadikan pengajaran
dan bagaimanapun caranya, hidup mesti diteruskan.
Berdasar pemerhatian, selain berjiwa kental dan
bersemangat waja, sifatnya yang ramah dan bijak mengambil hati banyak membantu
kejayaan perniagaannya. Jika berurusan di sesebuah tempat atau pejabat, dia
akan menyapa mesra pekerja-pekerja daripada peringkat paling bawah (termasuk
tukang cuci) sehingga ke pihak atasan. Dia tidak lokek mengeluarkan duit untuk
belanja makan dan apabila tiba musim perayaan, menghadiahkan hamper bukan saja
untuk bos-bos malah untuk pekerja-pekerja bawahan.
“Bila sudah ada jalinan hubungan yang baik dan mesra, ia
memudahkan kerja saya. Adalah lebih mudah berurusan dengan orang yang kita
kenali daripada yang tidak dikenali,” katanya lagi.
Melihat pada pencapaian dan kejayaan yang dinikmatinya kini,
saya rasa bertuah kerana dapat melihat sendiri bagaimana dia mula
bertapak dan memulakan langkah-langkah awal. Apabila sudah membuat perancangan dan operasinya berjalan, dia jalan
terus...
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Suraiya Mohd Nor adalah seorang konsultan yang mempunyai 10 tahun pengalaman dalam bidang kewangan dan perancangan harta.
Suraiya Mohd Nor adalah seorang konsultan yang mempunyai 10 tahun pengalaman dalam bidang kewangan dan perancangan harta.
Kepakarannya adalah menyediakan perkhidmatan pengurusan dan perancangan harta secara syariah komprehensif yang pantas dan mudah bagi membantu masyarakat Islam di negara ini.
Masalahnya sekarang ini apabila berlaku kematian, kebanyakan waris-waris bercakaran sesama sendiri. Ramai yang tidak tahu bagaimana membuat tuntutan kerana prosesnya yang sulit dan rumit serta membabitkan kos yang tinggi. Tidak menghairankan jika kini terdapat,LEBIH RM60 BILLION harta beku dan tidak dituntut ekoran masalah-masalah yang disebutkan tadi.
Untuk keterangan lanjut SMS/WA ke 013-3311981 atau emel ke suraiya@kausarwealth.com untuk mengetahui bagaimana waris-waris anda boleh mendapatkan perkhidmatan ini secara PERCUMA.
Untuk keterangan lanjut SMS/WA ke 013-3311981 atau emel ke suraiya@kausarwealth.com untuk mengetahui bagaimana waris-waris anda boleh mendapatkan perkhidmatan ini secara PERCUMA.
Labels:
blog,
harta pusaka,
kewangan,
Tips Motivasi dan Inspirasi,
umum
3 rahsia Kejayaan Fiona Tahir
SIAPA yang tidak kenal Fiona Tahir, legend industri saham amanah. Selama 17 tahun berkecimpung dalam bidang berkenaan, Fiona tidak pernah mengalah ataupun mengenal erti putus asa. Dia pernah mengalami saat-saat getir sepak terajang dunia perniagaan. Pernah menangis mengalami detik jatuh bangun sehinggakan hampir berputus asa namun dia tetap fokus dan perlahan-lahan membina semula dan memantapkan agensinya sehingga berjaya ke tahap sekarang.
Walaupun sudah berada dipuncak dan dinobatkan dengan anugerah tertinggi dalam industrinya selama tiga tahun berturut-turut, Fiona masih terus menimba ilmu, memperkukuh dan memperkemaskan bisnesnya dengan mewujudkan klon-klon berkarisma sepertinya yang mempunyai misi dan visi sama.
Sesiapa yang mendengar kisahnya pasti akan rasa Wow. Sangat teruja. Kisahnya memang awesome. Dia menjadi ikon saham amanah. Mentor pada ribuan orang dan yang menariknya, dia tidak lokek berkongsi rahsia.
Ini antara tiga rahsia kejayaan Fiona ketika acara perkongsian Millonaire Marketing Mastery (MMM) Dr Azizan Osman (DAO), 28 Februari 2015 lalu.
1. Jangan berkawan dengan biawak
Apabila memutuskan untuk melakukan sesuatu, tanya pada pakar dan jangan tanya pada orang yang tidak terbabit dalam industri berkenaan. "Sebagai contoh mudah seorang yang hendak jadi kaya-raya meminta nasihat pada seorang pakcik peminta sedekah. Apa yang boleh pakcik minta sedekah tu kata: Nah! Ambil tempurung ni dan duduk di sebelah pakcik.."
Katanya sangat penting untuk berada dikalangan mereka yang berfikiran positif, sentiasa memberi sokongan dan dorongan dan berguru dengan mereka yang sudah terbukti berjaya. Siapa yang kita dampingi akan menentukan kejayaan ataupun kegagalan kita. Jaunkan diri daripada orang yang suka merungut ataupun menyalahkan orang lain.
Sepertimana kata DAO, kita hendaklah berkawan dengan orang yang lebih dashyat daripada kita supaya kita rasa 'tertekan' untuk berbuat lebih baik.
2. Terima hakikat diri dan redha
Ramai orang yang suka menjatuhkan dirinya sendiri. Mula-mula dia berasa bersemangat tetapi apabila berdepan dengan cabaran, dia rasa masalah yang dihadapinya itu tersangat besar.
"Setiap orang mempunyai ujian masing-masing, kita perlu terima hakikat itu dan redha. Supaya sentiasa berada di landasan, saya akan belajar untuk tambah ilmu. Kita perlu sentiasa recharged diri kita dengan menyertai seminar-seminar yang membolehkan kita melantun semula dan membina balik perniagaan kita."
"Jangan benamkan diri kita dalam lubang jamban ataupun dalam lumpur kerana tiada orang yang boleh mengubah nasib kita kecuali diri kita sendiri."
3. Kuasa tindakan
"Perlu ada kuasa bertindak dan berani mengambil risiko. Lakukan saja apa yang disuruh dan diajar."
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Suraiya Mohd Nor adalah seorang konsultan yang mempunyai 10 tahun pengalaman dalam bidang kewangan dan perancangan harta.
Kepakarannya adalah menyediakan perkhidmatan perancangan kewangan, pengurusan dan perancangan harta secara syariah komprehensif yang pantas dan mudah bagi membantu masyarakat Islam di negara ini.
Masalahnya sekarang, apabila berlaku kematian, kebanyakan waris-waris bercakaran sesama sendiri, tidak mengetahui prosedur membuat tuntutan, serta terpaksa menanggung kos yang membebankan. Tidak menghairankan jika kini terdapat,LEBIH RM60 BILLION harta beku dan tidak dituntut ekoran masalah-masalah yang disebutkan tadi.
Untuk keterangan lanjut SMS/WA ke 013-3311981 atau emel ke suraiya@kausarwealth.com untuk mengetahui bagaimana waris-waris anda boleh mendapatkan perkhidmatan ini secara PERCUMA.
Untuk keterangan lanjut SMS/WA ke 013-3311981 atau emel ke suraiya@kausarwealth.com untuk mengetahui bagaimana waris-waris anda boleh mendapatkan perkhidmatan ini secara PERCUMA.
Sunday, March 1, 2015
7 Prinsip Hidup Kaya Raya
SEMUA orang mahu hidup senang dan hidup kaya raya. Jika ditanya, tidak ada seorangpun yang mahu hidup melarat dan tidak berharta. Tetapi kenapa ramai yang hidupnya terhimpit dan tersepit kerana wang? Ada yang berhutang keliling pinggang. Ada yang belum habis bulan, gaji sudah pun habis! Ada yang terpaksa meminjam di sana-sini. Justeru, di mana silapnya?
Mungkin kita membaca The Richest Man In Babylon, buku yang
ditulis George Samuel Clason. Buku yang diterbitkan pada 1926 ini
memberi garis panduan bagaimana untuk mengurus, mengembangkan wang sehingga menjadi kaya-raya.
Ada tujuh prinsip yang perlu
diikuti:
1.
Simpan sekurang-kurangnya 10% peratus daripada
pendapatan.
Apabila dapat gaji,
bayar diri sendiri dulu. Orang pertama yang wajib dibayar adalah diri anda
sendiri. Setiap hari anda keluar bekerja dari pagi sampai ke malam. Bila dapat
gaji, selalunya anda utamakan orang lain dulu. Bayar pinjaman rumah, pinjaman
kereta, upah jaga anak, bayar bil telefon, air dan api, beli barang dapur dan
keperluan lain dan saki-bakinya baru terfikir untuk disimpan. Anda menjadi
orang terakhir mendapat upah sedangkan anda berpenat-lelah, bertungkus-lumus setiap
hari bekerja!
2.
Kawal perbelanjaan
Untuk mengawal perbelanjaan, anda perlu tahu membezakan
antara keperluan dan keinginan. Contohnya, kasut baru ataupun susu anak. Duit
dapur ataupun duit pergi spa. Bayar pinjaman pendidikan atau duit pergi
melancong. Mana satu perbelanjaan perlu dan tidak perlu?
Perbelanjaan keperluan adalah perbelanjaan asas yang perlu
anda sediakan setiap bulan. Ini termasuk perbelanjaan tetap seperti sewa rumah,
kenderaan dan perjalanan ulang-alik ke tempat kerja, barang dapur, bil telefon
dan uliti, susu dan lampin anak, upah pengasuh dan lain-lain perbelanjaan
berkaitan yang perlu anda peruntukan setiap bulan.
Perbelanjaan diri seperti membeli pakaian, kasut dan beg
tangan, alat solek dan sebagainya adalah perbelanjaan berkala yang tidak
semestinya perlu anda keluarkan setiap bulan. Namun sekiranya, setiap bulan
anda perlu beli baju, tudung ataupun kasut baru, sedangkan koleksi pakaian dan
perhiasan anda sudah penuh beberapa almari tetapi tetap rambang mata untuk
menambah koleksi baru, pembaziran sudah berlaku. Elakkan daripada berbelanja
barang tidak perlu kecuali anda rasa sudah tibanya untuk memberi penghargaan
pada diri.
3.
Gandakan duit anda.
Sebahagian pendapatan yang disisih dan disimpan itu
perlu dilaburkan. Biarkan duit itu bekerja untuk tuannya! Laburkan di tempat
yang boleh menjana pendapatan. Namun sebelum melabur, tanya dulu pada pakar.
Jangan tanya pada tukang kasut hal-hal mengenai pelaburan kerana tukang kasut
hanya tahu membaiki kasut! Bukan juga saudara-mara ataupun teman-teman rapat
yang hanya dengar cerita daripada orang lain.
Dapatkan maklumat terperinci dan buat pelaburan berdasar
profil risiko anda.
Paling utama, pastikan syarikat pelaburan pilihan anda
itu sah. Untuk kepastian, hubungan Suruhanjaya Sekuriti (SC) supaya anda tidak
terjebak dengan skim-skim yang menjanjikan pulangan lumayan setiap bulan. Selidiki
syarikat berkenaan terlebih dulu dan guna logik akal, terutama bila ada yang
menjanjikan pulangan konsisten setiap bulan. Timbang-timbang dan fikir-fikirkanlah.
Setelah ada keuntungan, jangan ambil keuntungan itu
kerana ia ibarat anda mencantas pucuk-pucuk muda yang baru tumbuh. Biarkan ia
tumbuh merimbun. Bagi masa untuk pelaburan anda itu berkembang.
4.
Lindungi duit ataupun aset anda daripada rugi.
Apabila berduit, akan ada orang yang meminta bantuan dan
ingin meminjam. Membantu mereka yang dalam kesusahan memang sangat-sangat
digalakkan namun bagi melindungi aset anda, dapatkan jaminan ataupun cagaran.
Ini yang dilakukan beberapa orang yang saya kenali,
tidak kiralah yang meminjam itu adik-beradik ataupun orang lain. Bila ada
dikalangan saudara-maranya yang perlukan duit tunai, dia memberi pinjaman
tetapi dengan syarat ada cagaran. Sebagai contohnya, peminjam ada sebidang
tanah sawit tetapi perlukan duit tunai segera sebanyak RM10,000.
Dia akan buat surat perjanjian dan tanahnya akan hanya
dikembalikan apabila pinjamannya langsai. Selagi tidak langsai, dia akan
mengambil hasil sawit.
5.
Melabur dalam hartanah.
Hartanah adalah aset yang nilai pasarannya sentiasa
meningkat. Daripada terus-menerus menyewa, baik anda beli rumah sendiri.
Jadikan rumah atau tempat tinggal sebagai pelaburan yang menguntungkan.
6.
Persediaan masa depan
Masa depan adalah sesuatu yang tidak pasti. Tiada siapa
yang dapat memberi jaminan apa yang bakal berlaku pada masa depan. Sukar untuk
diramalkan samada kita masih sihat dan berumur panjang ataupun sebaliknya.
Dalam keadaan ini, Clason menyarankan untuk menyediakan dana persaraan dan juga
mengambil perlindungan insurans ataupun takaful. Sekurang-kurangnya apabila ada
dana persaraan ketika tua, kita tidak perlu sangat mengharapkan bantuan
anak-anak. Dan sekiranya meninggal dunia, insurans ataupun takaful yang kita
ambil dapat meringankan beban keluarga yang kita tinggalkan.
7.
Tingkatkan keupayaan diri.
Prinsip yang terakhirnya menggalakkan individu untuk
mengoptimumkan potensi diri mereka. Mereka perlu mempunyai matlamat yang jelas
dan kukuh serta berusaha keras untuk mendapatkannya. Matlamat ini bukan saja
dalam perkembangan kerjaya, malah dalam hidup secara keseluruhan, menjadikan
mereka manusia matang dan berpengetahuan. Apa yang dilakukan itu adalah sebagai
tanda hormat pada diri sendiri dengan melakukan perkara-perkara berikut:
a.
Ada hutang, bayar hutang itu dengan segera dan tidak
terus berhutang.
b.
Melindungi keluarga.
c.
Merancang pengurusan harta-hartanya ataupun buat
wasiat.
d.
Belas kasihan pada yang lemah dan sakit; dan bantu ikut
kemampuan terutama mereka yang hampir dengan anda.
Masalahnya sekarang ini ramai dikalangan waris tidak mengetahui bagaimana membuat tuntutan, terpaksa menunggu bertahun-tahun sebelum pusaka dapat diagihkan, membabitkan kos yang tinggi. Kepakaran beliau dapat membantu si mati dan meringankan beban waris yang ditinggalkan.
Subscribe to:
Posts (Atom)